Jalan menuju Allah ﷻ adalah jalan yang penuh dengan cinta, penuh rahmat, penuh ketenangan, penuh kejayaan, jalan kita menuju Allah ﷻ menjadikan manusia sebagai seorang bahagia dalam kehidupan duniawi ini, bahagia ketika kita kembali kepada Tuhannya pada Hari Kiamat.
Para Ulama’ telah menjadikan landasan ilmu ini sebagai pengenalan jalan menuju-Nya dengan mempelajari ilmu- ilmu syariat, mereka membangunkan ilmu –ilmu tersebut mengikut asasnya, iaitu Ilmu Tauhid, Ilmu Fiqh, dan Ilmu Tasawwuf.
1. Ilmu Tauhid – iaitu ilmu yang mempelajari permasalahan iman. Antara nama – namanya : 1) ilmu Kalam. 2) Ilmu Akidah atau Usuluddin.
1. Ilmu Tauhid terbahagi kepada dalam tiga (3) bab :
Pertama : Al Ilahiyyat – Para Ulama’ membincangkan mengenai Allah ﷻ melalui apa yang wajib baginya, perkara yang mustahil baginya, perkara yang harus bagi Allah ﷻ dan dalil – dalilnya secara akal dan al – Quran.
Kedua : Al – Nubuwwat – Perbincangan mengenai sifat – sifat para Rasul yang mulia, dan perkara yang wajib bagi mereka daripada kemaksuman dan perkara yang mustahil bagi mereka daripada sebarang penipuan, dan perkara yang harus bagi mereka.
Ketiga : Al – Sam’iyyat – iaitu perkara yang sampai kepada kita melalui pendengaran, bukan dengan fikiran dan penelitian, akal dan pengamatan, seperti pengetahuan tentang hari Akhirat dan kewajipan beriman dengannya, Syurga, Neraka, Titian al - Sirat, al – Mizan, al – Hisab, para Malaikat, Jin dan selain daripada itu didatangkan melalui al-Quran dan Sunnah. Kita wajib beriman padanya. Maka Ilmu yang mulia ini menerangkan martabat iman.
2. Ilmu Fiqh : Fiqh memelihara rukun – rukun islam yang terkandung dalam Ibadah dan Muamalat. Fiqh mempunyai jutaan cabang dan persoalan yang diambil sumbernya daripada al – Quran dan As- Sunnah.
Para Fuqaha’ membezakan pandangan dalam memahami hukum – hakam melalui al-Quran dan As-Sunnah. Maka terbentuklah mazhab – mazhab Fiqh melebihi 90 Mazhab. Selepas itu mereka melihat bahawa mazhab – mazhab ini hampir sama pada kebanyakan pendapat – pendapatnya. Kemudian kebanyakan mazhab – mazhab tersebut para imamnya tidak mempunyai anak murid, untuk memindahkan mazhab guru mereka dan memberi perhatian dan mencatatnya, maka hilanglah mazhab tersebut dan yang masih berbaki kepada kita hari ini hanyalah 8 buah mazhab.
Antaranya 4 Mazhab yang terkenal dalam Ahli Sunnah Wal Jamaah, iaitu Mazhab Hanafi, Mazhab Maliki, Mazhab Syafi’e dan Mazhab Hanbali. Antara 4 Mazhab yang tidak terkenal kerana pengikutnya yang sedikit al – Ja’fariyyah ( Pengikut Syi’ah Imamiah ) al – Ibadiyah ( Pengikut penduduk Oman dan sebahagian lagi penduduk Algeria), dan al – Zaydiyyah ( Pengikut sebahagian penduduk Yaman) dan al – Zahiriyyah ( Pengikut sedikit sekali di kalangan penduduk Morocco).
3. Ilmu Tasawwuf : atau martabat insan ; yang diisyaratkan oleh hadith Saiyyidina Jibril AS dengan “ hendaklah engkau menyembah Allah ﷻ seolah engkau melihatnya, jika engkau tidak melihatnya maka sesungguhnya dia melihat engkau “. Oleh yang demikian Tasawwuf bukanlah ilmu asing yang dimaksudkan kedalam ilmu – ilmu islam bahkan ianya adalah ilmu asasi, dan ianya diantara Ilmu Maqasid yang perlu dipelajari secara tersendiri, dan orang islam hendaklah mempelajarinya sekadar termampu, sebagaimana mempelajari usul iman daripada Ilmu Tauhid, dan mempelajari hukum hakam ibadah dan muamalat daripada Ilmu Fiqh, begitu juga hendaklah dia mempelajari akhlak dan adab – adab yang wajib keatas dirinya untuk berakhlak dengannya yang dipelajari melalui Ilmu Tasawwuf.
Ilmu Tasawwuf terdapat dua sumber baginya, sumber pertama : al – Quran dan As – Sunnah dan sumber kedua daripada realiti dan pengalaman. Orang yang menuju jalan Allah ﷻ walaupun berbilang jalannya itu, seperti orang yang berdiri dikelilingi bulatan. Kesemua mereka itu menuju dalam perjalanan mereka kepada titik pusatnya yakni dari keliling bulatan tersebut kepada pusat bagi bulatan tersebut.
Pusatnya disini adalah ALLAH ﷻ walaupun titik permulaannya berbeza dan jalan menujunya, sesungguhnya semua ingin sampai kepada tujuan yang sama iaitu Allah ﷻ. Demekianlah dengan hadirnya Allah ﷻ dalam hidup kita dalam setiap keadaan dan masa. Mestilah diikat segala perilaku kita dengan Allah ﷻ. Ini melazimkan untuk berzikir kepada Allah ﷻ pada setiap masa dan ketika.
Zikir dan Ibadat merupakan sesuatu yang baik dan dituntut, bahkan ia adalah asas yang didirikan diatas jalan menuju Allah ﷻ. Akan tetapi semua zikir apapun jenis ibadat yang kekosongan adab maka ia kurang manfaat. Yakni mengingati Allah ﷻ dalam keadaan beradab dan menghadirkan kebesaran Allah ﷻ dan bukanlah dengan menyebut namaku dengan lidahnya sedangkan hatinya sibuk mengingati selain daripada-Ku.
Sesungguhnya yang diambil kira adalah mereka yang benar, bukan mereka yang mendahului. Para Ahli Suluk memberi isyarat dengan perumpaan ini bahawa orang yang terkemudian yang pernah bertangguh untuk menuju Allah ﷻ boleh jadi ia dapat membangkitkan semangatnya, Maka Allah ﷻ menerima dengan semangatnya, dengannya ia dapat mendahului mereka dahulu jalan sebelumnya. Sesungguhnya yang dikira bukanlah mendahului dari segi ibadah atau bilangan zikir, bahkan yang dikira adalah kebenaran dan keikhlasan dalam melakukan amalan tersebut.
Kesimpulannya, barangsiapa yang kembali daripada Allah ﷻ tidak akan sampai kepadanya ; kerana Allah ﷻ tidak mengharapkan kepada mereka yang menyibukkan diri pada selainnya, maka tidak akan sampai kepada-Nya melainkan mereka yang menyibukkan diri dengan Allah ﷻ secara keseluruhan.
[ Bedah Buku : JALAN MENUJU ALLAH KARYA AL - IMAN AL - ALLAMAH DR. ALI JUM'AH ].
Buku ini dibeli pada 23 OCtober 2024M di Ruwaq Bookstore, Kedai dalam talian Shopee Malaysia.
Buku ini secara keseluruhannya sesuai kepada yang meminati dan mengetahui istilah - istilah tasawwuf. Buku ini adalah terjemahan daripada bahasa arab ke bahasa melayu yang diterjemahkan oleh Ahmad Faiz Mohd Khalil, Lajnah Penterjemahan APT.
Rating : 6.5/10 ***
0 comments:
Post a Comment