photo Assalamualaikum-kupu-kupu.gif

Monday, October 10, 2022

RANCANGLAH PUSAKA-MU. (33/2022).

 


Rancanglah Pusaka Mu.



Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan di sisi Allah jualah pahala yang besar.

[ Surah At – Taghabun ayat 15 ].


Marilah kita bertaqwa kepada Allah dengan sebenar – benar taqwa. Patuhilah perintah – perintah Allah S.W.T dan jauhilah segala larangannya. Semoga kita tergolong dalam kalangan orang – orang yang beriman yang mampu merancang untuk meraih kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

 Ikhwanil Muslimin !

Pada hari ini sebahagian besar masyarakat kita tidak ada kefahaman jelas mengenai ilmu Faraid atau pengurusan harta pusaka dalam islam. Ditambah lagi apabila tawaran dan promosi daripada pelbagai pihak menawarkan kaedah dan pengurusan harta semakin rancak sehingga sebahagian orang kita sukar untuk membuat keputusan dan cadangan mengenai harta yang dimiliki masing – masing.

Sikap dan suasana begini  boleh menjadikan faktor penyebab berlakunya kelewatan pembahagian harta pusaka bagi seseorang simati, lebih – lebih lagi ada antara kita yang risau berlakunya perbalahan atau dari awal lagi meletakkan dimindanya bahawa harta pusaka sukar diuruskan.

Secara umumnya, kelewatan pembahagiaan harta pusaka akan berlaku sekiranya waris –waris tidak mengetahui kedudukan harta pusaka dan siapa yang sebenarnya yang tergolong sebagai ahli –ahli waris kepada si mati. Keadaan ini akan menyebabkan harta – harta simati terutama harta tak alih seperti rumah, tanah , bangunan kedai atau harta – harta alih seperti wang simpanan , wang ( KWSP) simpanan tabung haji, Saham, Syer syarikat, barang kemas dan lain – lain akan menjadi beku buat suatu tempoh masa yang agak lama dan tidak dapat diurus dengan betul.

Kegagalan mengurus harta pusaka dengan baik akan mendorong berlakunya krisis dalam intitusi keluarga yang kadang – kadang membawa kepada pertelingkahan sesama waris. Hal ini kerana, terdapat waris yang mengunakan harta simati  tanpa persetujuan waris – waris lain atau ada yang mengambil harta si mati secara salah. Lebih malang lagi terdapat waris yang sanggup memberi keterangan palsu dihadapan hakim semata – mataingin berebut harta tersebut.

Ingatlah kepada perintah Allah dalam Surah al – Baqarah ayat 188 : 

Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).

[ Al – Baqarah Ayat 188 ].

Ikhwanil Muslimin !

Sebenarnya untuk mengelakkan harta pusaka menjadi beku dan waris berbalah sesama sendiri, ia boleh ditangani dengan berkesan sekiranya masyarakat kita membuat perancangan awal secara kemas dan sistematik sebelum meninggal dunia. Perancangan seseorang individu keatas pembahagian harta pusaka dilakukan adalah untuk mencapai empat matlamat berikut :

Pertama : Supaya kita dapat melakukan amal jariah untuk diri kita.

Kedua : Supaya kita dapat memberi harta kepada orang yang kita saying.

Ketiga : Supaya kita dapat memastikan waris kita tidak mengharapkan simpati daripada orang lain, dan

Keempat : Supaya kita dapat membahagikanharta pusaka kepada mereka yang benar –benar berhak.

Ikhwanil Muslimin !

Sebagai hamba Allah yang diberi kesempatan dan peluang untuk hidup dimuka bumi ini, kita amat digalakkan untuk menyediakan bekalan sedekah jariah sebelum menemui Allah S.W.T. Dalam hal ini seseorang boleh membelanjakan hartanya ketika hidup samada dengan besedekah atau berwakaf menggunakan harta alih dan harta tak alih. Secara umumnya, kebanyakan kita memahami maksud

Hadis daripada Abu Hurairah Radhiallahu anhu bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :


Maksudnya : Apabila manusia meninggal dunia, akan terputuslah daripada amalannya melainkan tiga perkara, sedekah jariah,ilmu yang dimanfaatkan atau anak soleh yang mendoakannya.

Hadis Nabi ( Riwayat Muslim ).

Ikhwanil Muslimin !

Kita juga digalakkan untuk memberikan harta kepada mereka yang disayangi seperti anak-anak kandung , anak –anak angkat, orang susah atau rakan taulan yang dikasihi secara hibah, supaya yang demikian ia akan dapat memperkukuhkan tali silaturrahim.

 Abu Hurairah Radhiallahu anhu menyatakan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

Maksudnya : Saling memberi hadiahlah kamu, nescaya kamu akan saling saling menyayangi”.

( Hadis Riwayat Bukhari ).


Pemberian harta secara hibah adalah digalakkan den boleh dilakukan ketika seseorang masih hidup. Ia tidak mempunyai had dan sesiapa pun boleh menerimanya termasuk para waris. Hibah juga menjadi salah satu Instrument ( Akad ) yang semakin popular dalam produk – produk kewangan islam pada hari ini.

Sekiranya pembahagiaan harta pusaka itu ingin dilakukan selepas meninggal dunia, seseorang itu boleh merancang secara wasiat terutama kepada anak angkat atau waris yang terhalang daripada menerima harta pusaka itu nanti. Ini bermakna, seseorang individu boleh menyediakan perancangan tersebut semasa hayatnya dan dilaksanakan sebaik sahaja dia meninggal dunia pada kadar tidak melebihi (1/3) daripda harta pusakanya.

Semua ahli masyarakat di Kelantan dan seluruh negara perlu sedar akan kepentingan menulis surat wasiat kerana ia merupakan kaedah yang mebolehkan seseorang yang terhalang daripada menerima harta pusaka itu menikmati pemilikan harta.

Galakan menulis Wasiat ini ada dijelaskan melalui Hadis daripada Abdullah Ibnu Umar Radiallahu’ anhu bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :


Maksudnya : “ Tidak satupun seseorang muslim yang mempunyai sesuatu ingin  diwasiatkan, tidur dua malam berturut – turut melainkan dia menulis wasiat disisinya.

( Riwayat Bukhari )

Ikhwanil Muslimin!

Kesedaran mengenai Pusaka, Wasiat dan Hibah ini masih rendah dalam kalangan orang islam, sedangkan ilmu berkaitan pengurusan harta sebegini sepatutnya dijadikan sebahagian daripada keperluan hidup sebagaimana seseorang muslim.

 Mengapa terjadi sedemikian ?

Jawapannya ialah kerana sesetengah umat islam tidak memikirkan tengtang kematian  yang pasti datang pada bila – bila masa. Atau mungkin juga disebabkan ilmu dan maklumat berkenaan pengurusan harta atau kewangan diri dan keluarga masih rendah. Ajaib juga apabila ada sebahagian orang kita sanggup berbelanja ratusan ringgit untuk berwhats App, Instagram, Tiktok dan update Wall Facebook menghantar pesanan – pesanan ringkas setiap hari, tetapi tidak sanggup untuk berbelanja sedikit untuk menulis “ Pesanan Terakhir” yang hnaya dilakukan sekali dalam hidupnya.

Kelebihan menulis surat wasiat atau dokumen hibah sebenarnya antara lain mampu memudahkan  proses pembahagian  harta selepas kematian kita, mengelakkan salah faham atau perbalahan antara waris. Selain kita dapat melantik  (  وَصِىْ) atau pentadbir yang diyakini bertanggungjawab dah amanah untuk mentadbir harta pusaka kita apabila kita sudah tiada nanti.

 Ikhwanil Muslimin !

Sebagai pemilik harta, kita juga perlu memastikan waris – waris akan memperolehi harta pusaka daripada kita. Kita pasti tidak ingin melihat waris – waris kita nanti pada suatu masa, meminta – minta daripada orang lain atau menagih simpati daripada orang ramai.

Dalam Hadis Said bin Abi Waqas Radiallahuanhu, Rasulullah S.A.W bersabda :

Maksudnya: “ Sesungguhnya apabila engkau meninggalkan ahli waris kaya itu lebih baik daripada engkau meninggalkan mereka miskin, meminta – minta kepada manusia dengan tangan mereka “.

Sebagai akhirnya, ingatlah para Jemaah sekalian, sesungguhnya harta adalah suatu amanah daripada Allah Subhanahu wa Taala. Semua harta kita akan dipersoal dan dipertanggungjawabkan dari mana diperolehi dan kemana dibelanjakan.

Jadi, pastikan harta – harta kita dapat diuruskan dengan baik dan diberikan kepada mereka yang berhak dan disayangi dengan cara yang paling adil.

 

Dan hendaklah takut (kepada Allah daripada melakukan aniaya kepada anak-anak yatim oleh) orang-orang (yang menjadi penjaganya), yang jika ditakdirkan mereka pula meninggalkan anak-anak yang daif (yatim) di belakang mereka, (tentulah) mereka akan merasa bimbang terhadap (masa depan dan keselamatan) anak-anak mereka; oleh itu hendaklah mereka bertaqwa kepada Allah, dan hendaklah mereka mengatakan perkataan yang betul (menepati kebenaran).

[ Surah An-Nisa Ayat 9].


 * Sedutan isi intipati Khutbah Jumaat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan.

 ( MAIK ). Siri yang ke 33/2022. Tarikh Bacaan pada 19.08.2022.

 

1. Rancanglah Pusaka Mu : Power Point. 
2. Rancanglah Pusaka Mu : Pdf.

 

 photo tawakkal.gif
-
islamic-comment2.gif

Copyright @ 2013 Matarz_Wanz | Blog.