Rancanglah Pusaka Mu.
Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan di sisi Allah jualah pahala yang besar.
[ Surah At – Taghabun ayat 15 ].
Marilah kita
bertaqwa kepada Allah dengan sebenar – benar taqwa. Patuhilah perintah –
perintah Allah S.W.T dan jauhilah segala larangannya. Semoga kita tergolong
dalam kalangan orang – orang yang beriman yang mampu merancang untuk meraih
kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.
Pada hari
ini sebahagian besar masyarakat kita tidak ada kefahaman jelas mengenai ilmu
Faraid atau pengurusan harta pusaka dalam islam. Ditambah lagi apabila tawaran
dan promosi daripada pelbagai pihak menawarkan kaedah dan pengurusan harta
semakin rancak sehingga sebahagian orang kita sukar untuk membuat keputusan dan
cadangan mengenai harta yang dimiliki masing – masing.
Sikap dan
suasana begini boleh menjadikan faktor
penyebab berlakunya kelewatan pembahagian harta pusaka bagi seseorang simati,
lebih – lebih lagi ada antara kita yang risau berlakunya perbalahan atau dari
awal lagi meletakkan dimindanya bahawa harta pusaka sukar diuruskan.
Secara
umumnya, kelewatan pembahagiaan harta pusaka akan berlaku sekiranya waris
–waris tidak mengetahui kedudukan harta pusaka dan siapa yang sebenarnya yang
tergolong sebagai ahli –ahli waris kepada si mati. Keadaan ini akan menyebabkan
harta – harta simati terutama harta tak alih seperti rumah, tanah ,
bangunan kedai atau harta – harta alih seperti wang simpanan , wang ( KWSP)
simpanan tabung haji, Saham, Syer syarikat, barang kemas dan lain – lain akan
menjadi beku buat suatu tempoh masa yang agak lama dan tidak dapat diurus dengan
betul.
Kegagalan
mengurus harta pusaka dengan baik akan mendorong berlakunya krisis dalam
intitusi keluarga yang kadang – kadang membawa kepada pertelingkahan sesama
waris. Hal ini kerana, terdapat waris yang mengunakan harta simati tanpa persetujuan waris – waris lain atau ada
yang mengambil harta si mati secara salah. Lebih malang lagi terdapat waris yang
sanggup memberi keterangan palsu dihadapan hakim semata – mataingin berebut
harta tersebut.
Ingatlah kepada perintah
Allah dalam Surah al – Baqarah ayat 188 :
Dan janganlah kamu makan (atau
mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan
jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim
kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan
(berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).
[ Al – Baqarah Ayat 188 ].
Ikhwanil
Muslimin !
Sebenarnya
untuk mengelakkan harta pusaka menjadi beku dan waris berbalah sesama sendiri,
ia boleh ditangani dengan berkesan sekiranya masyarakat kita membuat
perancangan awal secara kemas dan sistematik sebelum meninggal dunia.
Perancangan seseorang individu keatas pembahagian harta pusaka dilakukan adalah
untuk mencapai empat matlamat berikut :
Pertama :
Supaya kita dapat melakukan amal jariah untuk diri kita.
Kedua :
Supaya kita dapat memberi harta kepada orang yang kita saying.
Ketiga :
Supaya kita dapat memastikan waris kita tidak mengharapkan simpati daripada
orang lain, dan
Keempat :
Supaya kita dapat membahagikanharta pusaka kepada mereka yang benar –benar
berhak.
Ikhwanil Muslimin !
Sebagai hamba Allah yang diberi kesempatan dan peluang untuk hidup dimuka bumi ini, kita amat digalakkan untuk menyediakan bekalan sedekah jariah sebelum menemui Allah S.W.T. Dalam hal ini seseorang boleh membelanjakan hartanya ketika hidup samada dengan besedekah atau berwakaf menggunakan harta alih dan harta tak alih. Secara umumnya, kebanyakan kita memahami maksud
Hadis daripada Abu
Hurairah Radhiallahu anhu bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :
Maksudnya : Apabila manusia meninggal dunia, akan terputuslah daripada amalannya melainkan tiga perkara, sedekah jariah,ilmu yang dimanfaatkan atau anak soleh yang mendoakannya.
Hadis Nabi ( Riwayat Muslim ).
Ikhwanil Muslimin !
Kita juga
digalakkan untuk memberikan harta kepada mereka yang disayangi seperti anak-anak
kandung , anak –anak angkat, orang susah atau rakan taulan yang dikasihi secara
hibah, supaya yang demikian ia akan dapat memperkukuhkan tali silaturrahim.
Maksudnya :
Saling memberi hadiahlah kamu, nescaya kamu akan saling saling menyayangi”.
( Hadis Riwayat Bukhari ).
Pemberian harta secara hibah adalah digalakkan den boleh dilakukan ketika seseorang masih hidup. Ia tidak mempunyai had dan sesiapa pun boleh menerimanya termasuk para waris. Hibah juga menjadi salah satu Instrument ( Akad ) yang semakin popular dalam produk – produk kewangan islam pada hari ini.
Sekiranya
pembahagiaan harta pusaka itu ingin dilakukan selepas meninggal dunia, seseorang
itu boleh merancang secara wasiat terutama kepada anak angkat atau waris yang
terhalang daripada menerima harta pusaka itu nanti. Ini bermakna, seseorang
individu boleh menyediakan perancangan tersebut semasa hayatnya dan
dilaksanakan sebaik sahaja dia meninggal dunia pada kadar tidak melebihi (1/3)
daripda harta pusakanya.
Semua ahli
masyarakat di Kelantan dan seluruh negara perlu sedar akan kepentingan menulis
surat wasiat kerana ia merupakan kaedah yang mebolehkan seseorang yang
terhalang daripada menerima harta pusaka itu menikmati pemilikan harta.
Galakan
menulis Wasiat ini ada dijelaskan melalui Hadis daripada Abdullah Ibnu Umar
Radiallahu’ anhu bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :
Maksudnya : “ Tidak satupun seseorang muslim yang mempunyai sesuatu ingin diwasiatkan, tidur dua malam berturut – turut melainkan dia menulis wasiat disisinya.
( Riwayat Bukhari )
Ikhwanil
Muslimin!
Kesedaran
mengenai Pusaka, Wasiat dan Hibah ini masih rendah dalam kalangan orang islam,
sedangkan ilmu berkaitan pengurusan harta sebegini sepatutnya dijadikan
sebahagian daripada keperluan hidup sebagaimana seseorang muslim.
Jawapannya ialah kerana sesetengah umat islam tidak memikirkan tengtang kematian yang pasti datang pada bila – bila masa. Atau mungkin juga disebabkan ilmu dan maklumat berkenaan pengurusan harta atau kewangan diri dan keluarga masih rendah. Ajaib juga apabila ada sebahagian orang kita sanggup berbelanja ratusan ringgit untuk berwhats App, Instagram, Tiktok dan update Wall Facebook menghantar pesanan – pesanan ringkas setiap hari, tetapi tidak sanggup untuk berbelanja sedikit untuk menulis “ Pesanan Terakhir” yang hnaya dilakukan sekali dalam hidupnya.
Kelebihan menulis surat wasiat atau dokumen hibah sebenarnya antara lain mampu memudahkan proses pembahagian harta selepas kematian kita, mengelakkan salah faham atau perbalahan antara waris. Selain kita dapat melantik ( وَصِىْ) atau pentadbir yang diyakini bertanggungjawab dah amanah untuk mentadbir harta pusaka kita apabila kita sudah tiada nanti.
Sebagai
pemilik harta, kita juga perlu memastikan waris – waris akan memperolehi harta
pusaka daripada kita. Kita pasti tidak ingin melihat waris – waris kita nanti
pada suatu masa, meminta – minta daripada orang lain atau menagih simpati
daripada orang ramai.
Dalam Hadis
Said bin Abi Waqas Radiallahuanhu, Rasulullah S.A.W bersabda :
Maksudnya: “ Sesungguhnya apabila engkau meninggalkan ahli waris kaya itu lebih baik daripada engkau meninggalkan mereka miskin, meminta – minta kepada manusia dengan tangan mereka “.
Sebagai
akhirnya, ingatlah para Jemaah sekalian, sesungguhnya harta adalah suatu amanah
daripada Allah Subhanahu wa Taala. Semua harta kita akan dipersoal dan
dipertanggungjawabkan dari mana diperolehi dan kemana dibelanjakan.
Jadi,
pastikan harta – harta kita dapat diuruskan dengan baik dan diberikan kepada
mereka yang berhak dan disayangi dengan cara yang paling adil.
Dan hendaklah takut (kepada Allah
daripada melakukan aniaya kepada anak-anak yatim oleh) orang-orang (yang
menjadi penjaganya), yang jika ditakdirkan mereka pula meninggalkan anak-anak
yang daif (yatim) di belakang mereka, (tentulah) mereka akan merasa bimbang
terhadap (masa depan dan keselamatan) anak-anak mereka; oleh itu hendaklah
mereka bertaqwa kepada Allah, dan hendaklah mereka mengatakan perkataan yang
betul (menepati kebenaran).
[ Surah An-Nisa Ayat 9].